KUALA LUMPUR, 7 Julai – Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, menzahirkan harapan agar Tentera Darat Malaysia (TDM) terus dihormati dan diyakini rakyat sebagai sebuah angkatan profesional serta bebas amalan rasuah demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
Menerusi hantaran Facebook Sultan Ibrahim hari ini, Seri Paduka Baginda turut menzahirkan nasihat tegas kepada Panglima Tentera Darat (PTD) baharu bagi memastikan seluruh warga TDM berpegang teguh kepada nilai integriti dan amanah dalam melaksanakan tanggungjawab.
“Sebelum ini, sudah beberapa kali saya menegaskan mengenai ‘orang tengah’ atau ejen di Kementerian Pertahanan…, sepatutnya mereka semua ini tidak boleh dibenarkan masuk,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran Facebook.
Sultan Ibrahim menegaskan rasuah merupakan musuh utama kepada kekuatan dan kredibiliti angkatan pertahanan negara dan sebarang bentuk salah guna kuasa atau penyelewengan tidak boleh diterima sama sekali.
Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa kepemimpinan berintegriti bermula dari peringkat tertinggi dan PTD hendaklah menjadi contoh teladan dalam membudayakan tadbir urus yang bersih, telus serta bertanggungjawab.
Terdahulu, Seri Paduka Baginda berkenan menerima mengadap Jeneral Datuk Azhan Md Othman, PTD yang baharu di Istana Bukit Tunku, Kuala Lumpur pada hari ini (7 Januari).
Jeneral Datuk Azhan secara rasmi dilantik sebagai PTD ke-31 berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Pelantikan berkenaan adalah selaras dengan keputusan Majlis Angkatan Tentera ke-631 pada 19 November 2025 dan diperkenankan Sultan Ibrahim pada 1 Disember 2025.-Berita RTM
