Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 6 Januari — Seramai 25,000 pelatih tempatan dijangka menerima manfaat menerusi penambahbaikan Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana (LiKES) bagi meningkatkan kebolehpasaran belia.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata tempoh kelulusan LiKES telah dipendekkan kepada 14 hari bekerja berbanding 90 hari sebelum ini, selain kerajaan memperkenalkan bayaran pendahuluan RM2,000 kepada setiap syarikat yang layak.

“Permulaan latihan pada tahun ini akan dilaksanakan menerusi program LiKES, iaitu Geran Padanan Latihan Industri Kecil dan Sederhana. Program ini melibatkan peruntukan RM30 juta bagi tempoh tiga tahun dan dijangka memberi manfaat kepada 25,000 pelatih tempatan.

“Proses kelulusan juga dipercepatkan kepada hanya 14 hari bekerja berbanding 90 hari sebelum ini, selain kerajaan menyediakan pendahuluan RM2,000 bagi setiap pelatih yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas lawatan ke ibu pejabat TalentCorp di sini hari ini.

LiKES dilaksanakan berkonsepkan ‘Pay and Claim’ dan tertakluk kepada kriteria serta syarat ditetapkan Talent Corp.

“Dengan pelaksanaan pembayaran pendahuluan RM2,000 yang akan bermula pada 1 Mac 2026, syarikat boleh menerima bayaran tersebut dalam tempoh 14 hari bekerja, sekiranya semua dokumen lengkap,” jelas beliau.

Ramanan turut menggesa golongan belia dan graduan supaya merebut peluang yang disediakan melalui LiKES kerana program itu bukan sahaja menawarkan pengalaman latihan sebenar, malah disokong sepenuhnya oleh TalentCorp.

“Ini peluang yang sangat baik untuk belia membina kemahiran dan mempersiapkan diri ke alam pekerjaan. Program ini berskala besar dan akan dilancarkan bermula di Selangor,” katanya.-Berita RTM