Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 5 Januari – Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup lebih tinggi pada Isnin seiring dengan aliran menaik dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata seorang peniaga.

“Getah Jepun meningkat bagi sesi kesembilan berturut-turut hari ini, mengukuh ke paras tertinggi sejak Mac, dengan pasaran disokong oleh jualan kereta yang kukuh dan harga minyak yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, katanya, peningkatan selanjutnya dihadkan oleh aliran menurun harga minyak mentah berikutan pergolakan politik di negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum yang menjejaskan bekalan minyak.

Menurut peniaga itu, harga minyak menyusut pada Isnin apabila bekalan global yang mencukupi mengimbangi kebimbangan mengenai gangguan bekalan selepas AS menahan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam satu serbuan pada hujung minggu.

Pada 4.29 petang, ringgit merosot kepada 4.0675/0720 berbanding dolar AS pada 4.0515/0560 ketika ditutup pada Jumaat.

Sementara itu, ketika ini, minyak mentah Brent turun 1.37 peratus kepada US$59.92 setong.

Pada 3 petang, Standard Malaysian Rubber (SMR) 20 meningkat 12.5 sen kepada 756 sen sekilogram, manakala lateks pukal naik dua sen kepada 577 sen sekilogram. -BERNAMA