PUTRAJAYA, 5 Jan – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited untuk terus memperkasakan agenda pembangunan belia dan sukan negara menerusi pelaksanaan dasar dan inisiatif yang menumpukan kesejahteraan belia, pembudayaan sukan serta pengukuhan ekosistem industri sukan yang inklusif dan mampan.
KBS dalam kenyataan memaklumkan komitmen itu selaras dengan amanat Perdana Menteri yang menekankan pengukuhan tadbir urus kerajaan, pemerkasaan integriti penjawat awam, budaya kerja berprestasi tinggi dan keutamaan kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan telus.
“KBS turut menyokong sepenuhnya penekanan Perdana Menteri terhadap pemerkasaan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pemacu utama pembangunan modal insan negara.
“Kementerian ini akan terus memperkukuh peranan institusi belia dan sukan di bawah KBS dalam menyediakan latihan kemahiran, peningkatan kebolehpasaran serta laluan kerjaya berasaskan TVET yang relevan dengan keperluan industri, termasuk sektor sukan dan keusahawanan,” menurut kenyataan itu.
KBS turut menyokong pelaksanaan dan penambahbaikan bantuan bersasar kerajaan termasuk Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sebagai langkah meringankan beban kos sara hidup dan menjamin kesejahteraan golongan belia berpendapatan rendah.
Selain itu, KBS juga menzahirkan komitmen memastikan setiap warga kementerian menghayati nilai profesionalisme, akauntabiliti dan semangat kerja berpasukan selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam membina negara yang progresif, berdaya tahan dan berteraskan nilai kemanusiaan.
“Kementerian ini kekal komited untuk bekerjasama rapat dengan semua agensi, pihak berkepentingan serta rakan strategik bagi merealisasikan visi dan hala tuju yang telah digariskan demi manfaat belia, atlet dan seluruh rakyat Malaysia,” menurut kenyataan itu.-Berita RTM
