Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

MANJUNG: Penstrukturan semula bayaran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak akan menjejaskan kelayakan peminjam mendapatkan pinjaman bank, termasuk pembiayaan perumahan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa mengembangkan konsep ‘keihsanan’ termasuk tidak mahu peminjam PTPTN merasakan tuntutan membayar balik pinjaman itu adalah tekanan besar.

Beliau berkata, ia dibuktikan apabila berulang kali pihaknya menggesa mereka yang mempunyai masalah bayaran balik pinjaman PTPTN supaya datang berbincang dengan pengurusan tabung itu supaya bayaran dibuat mengikut kemampuan.

“Di pihak kerajaan, saya sering mengguna dan mengembangkan istilah ‘keihsanan’. Kita tidak mahu rakyat merasakan tuntutan membayar pinjaman PTPTN adalah satu tekanan besar.

“Sebab itu berkali-kali kita sebutkan, sekiranya mempunyai masalah, mereka boleh datang berbincang dengan pihak PTPTN supaya bayaran mengikut kemampuan dan keadaan mereka,” katanya selepas menghadiri program Back To School Parlimen Lumut di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung, di sini, hari ini.

Program inisiatif Skim Simpan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN) itu membabitkan sumbangan kelengkapan asas sekolah kepada 900 penerima daripada keseluruhan seramai 1,350 penerima untuk Parlimen Lumut, membabitkan peruntukan keseluruhan RM300,000.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid.

Zambry mengulas luahan segelintir pihak mengenai program penstrukturan semula bayaran PTPTN yang didakwa boleh menyebabkan peminjam yang melakukannya mengalami sedikit kesusahan membuat pinjaman perumahan atau lain-lain pembiayaan.

PTPTN kini melaksanakan Kempen Lestari Pendidikan iaitu inisiatif bersepadu dan pendekatan mesra pelanggan untuk membantu serta memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman khususnya kepada peminjam PTPTN yang mempunyai tunggakan pinjaman, untuk menstrukturkan semula pinjaman mengikut kemampuan kewangan mereka.

Zambry berkata, sifat ‘keihsanan’ yang diamalkan kerajaan itu juga dibuktikan apabila kerajaan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan Program Siswa Sulung (SULUNG) yang menaja pengajian percuma kepada penuntut generasi pertama keluarga yang berjaya memasuki universiti.

“Tindakan yang diambil adalah kepada mereka yang langsung tidak pernah, walau sekali pun membayar atau datang memaklumkan keberadaan dan kedudukan mereka.

“Bagi yang membayar, ada kalanya mereka mempunyai kesulitan jadi mereka boleh datang berbincang. Saya juga sudah maklumkan kepada PTPTN mengenai segi arahan kerajaan supaya ruang perbincangan itu diberikan,” katanya.

Sementara itu, Zambry berkata, skim SSPN terus mencatatkan prestasi memberangsangkan dengan jumlah deposit terkumpul RM22 bilion, sekali gus mencerminkan peningkatan kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menabung demi masa depan pendidikan anak-anak.

“Setakat ini, simpanan dalam SSPN sudah mencecah RM20 bilion membabitkan 5.7 juta akaun. Ini adalah satu pencapaian dan (menunjukkan) kesedaran dalam kalangan ibu bapa untuk menabung bagi masa depan anak-anak mereka sendiri. 

“Segi jumlah untuk mereka menabung ini tidak tertakluk kepada satu jumlah besar kerana boleh menabung dengan minimum RM20 sahaja. Jadi setiap bulan atau setiap hari kalau ada duit lebih mereka boleh menabung bila-bila masa,” katanya.-BH Online