PUTRAJAYA, 4 Januari – Kementerian Luar Negeri beri jaminan keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia di Venezuela berada dalam keadaan terkawal susulan perkembangan keselamatan terkini di Caracas, awal hari ini.
Kementerian dalam kenyataan memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Caracas berjaya menghubungi semua rakyat Malaysia yang berdaftar di negara itu dan mengesahkan mereka berada dalam keadaan selamat serta mengenal pasti lokasi masing-masing.
“Malaysia secara prinsip menolak sebarang bentuk campur tangan asing, ancaman atau penggunaan kekerasan dalam urusan dalaman sesebuah negara, selaras dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan undang-undang antarabangsa.
“Keperluan penyelesaian secara aman melalui dialog, penghormatan terhadap kedaulatan negara serta pematuhan kepada norma antarabangsa,” menurut kenyataan itu pada Ahad.
Sehubungan itu, semua pihak yang terlibat digesa mengamalkan sikap menahan diri sepenuhnya dan mengutamakan usaha diplomasi bagi meredakan ketegangan semasa.
KLN yang juga dikenali sebagai Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Caracas kini memantau rapi situasi di lapangan dan bersedia memberikan bantuan konsular sekiranya diperlukan.
“Rakyat Malaysia dinasihatkan agar kekal berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan dan sentiasa berhubung dengan pihak kedutaan,” tambah kenyataan itu lagi.
Kedutaan Besar Malaysia di Caracas boleh dihubungi melalui nombor telefon (58-212) 720 4257 dan email, mwcaracas@kln.gov.my. – Berita RTM
