KUALA LUMPUR, 4 Januari – Pelaksanaan kurikulum prasekolah baharu akan dimulakan lebih awal pada tahun ini berbanding perancangan asal pada 2027.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan kesiapsiagaan murid prasekolah seiring dengan permulaan sesi persekolahan baharu.
“Permulaan bagi kurikulum prasekolah yang akan dimulakan lebih awal. Maksudnya, sepatutnya kurikulum itu 2027 tapi kita persekolah akan dimulakan lebih awal untuk 2026. Jadi tumpuan KPM adalah untuk pelaksanaan kurikulum untuk persekolah ini”, katanya demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Ceria ke Sekolah bersama ERM Parlimen Bandar Tun Razak, di sini hari ini.
Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, yang juga ahli Parlimen kawasan berkenaan.
Menurut beliau, minggu pertama sesi persekolahan merupakan tempoh yang amat penting, justeru persediaan awal termasuk pelaksanaan kurikulum prasekolah perlu diberi keutamaan bagi memastikan murid dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran pembelajaran secara lebih tersusun.
Dalam pada itu, Fadhlina menyifatkan program bantuan persekolahan itu sebagai amat bermakna dalam membantu meringankan beban ibu bapa membuat persiapan persekolahan anak-anak.-Berita RTM
