TANJUNG MALIM: Kerajaan akan membantu membawa pulang 36 jemaah umrah yang terkandas di Madinah baru-baru ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata maklumat berhubung insiden berkenaan telah diterima dan tindakan pengesahan sedang dilaksanakan.
“Insya-Allah mereka akan dibantu dan pulang dengan selamat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan #MADANI Membantu Jom Ke Sekolah 2026 di Dewan Muallim Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) di sini hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan 36 jemaah umrah Malaysia terkandas di Madinah kerana masih belum mempunyai tiket penerbangan pulang ke tanah air dan mendesak agensi terlibat supaya menyegerakan urusan tersebut.
Mengenai isu kuota haji tahun ini, Zulkifli berkata Malaysia masih menunggu maklum balas kerajaan Arab Saudi berhubung permohonan tambahan kuota haji yang dikemukakan sebelum ini.
“Setakat ini kita masih menunggu maklum balas Arab Saudi berhubung permohonan tambahan kuota haji dengan harapan pertambahan kuota dapat diberikan kepada kita untuk jemaah tahun ini,” katanya.
Zulkifli sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan menjangkakan bilangan jemaah haji negara akan bertambah pada masa hadapan berbanding kuota semasa sebanyak 31,600, dan Malaysia telah memohon kuota tambahan.– BERNAMA
