JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri Johor sedang memuktamadkan perbincangan pelaburan berimpak tinggi dengan syarikat teknologi bateri global, Gotion High-Tech Co., Ltd, bagi menubuhkan fasiliti pembuatan bateri litium termaju di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata perbincangan itu susulan lawatan kerja dan pertemuan strategik delegasi Johor dengan pengurusan tertinggi Gotion di Shanghai, China, baru-baru ini.
Beliau berkata, pertemuan berkenaan memberi tumpuan kepada usaha merealisasikan penubuhan fasiliti pembuatan bateri litium termaju yang dijangka meletakkan Johor sebagai hab serantau bagi pengeluaran bateri kenderaan elektrik (EV) serta sistem penyimpanan tenaga.
Menurutnya, kerajaan negeri melihat potensi pelaburan itu sebagai komitmen jangka panjang yang mampu memberi manfaat langsung kepada rakyat Johor, selari dengan aspirasi peralihan tenaga hijau dan pembangunan ekonomi mampan.
Onn Hafiz berkata, Gotion dijangka berperanan sebagai peneraju pengeluar peralatan asal (OEM) dan teknologi, merangkumi pembuatan pek bateri, integrasi modul serta aktiviti bernilai tinggi dalam rantaian teknologi bateri dan pengurusan tenaga.
Beliau berkata, pembangunan ekosistem menerusi pelaburan berkenaan akan membuka peluang luas kepada industri tempatan untuk berkembang dan bekerjasama dengan pemain global, sekali gus meningkatkan keupayaan teknologi serta daya saing industri dalam negara.
Kerajaan negeri, katanya, yakin kerjasama strategik itu berupaya memperkukuh kedudukan Johor sebagai destinasi pelaburan utama bagi sektor teknologi hijau di peringkat serantau.
“Insya-Allah, kerjasama ini akan menyokong agenda peralihan tenaga hijau, memperkukuh daya saing ekonomi Johor dan memastikan hasil pembangunan negeri dapat dipulangkan kepada rakyat melalui peluang pekerjaan, peningkatan pendapatan serta masa depan yang lebih mampan,” katanya.– BERNAMA
