Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

ALOR SETAR: Inisiatif yang dilaksanakan dalam menghidupkan semula Lorong Sempit selain penganjuran acara Lorong Pekan dilihat sebagai langkah terbaik untuk mempromosikan Bandaraya Alor Setar terutama pada waktu malam.

Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah bahawa langkah itu juga berupaya untuk menonjolkan budaya tempatan kepada pengunjung sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).

Tambah baginda, usaha yang dipelopori Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) itu juga menjadi platform mengetengahkan produk-produk usahawan tempatan seperti makanan, pakaian dan hasil kraftangan.

“Ini adalah satu warisan kita di mana kita patut pelihara dan jaga dia dan terima kasih kepada MBAS yang naik taraf Lorong Sempit.

“Kita patut buat masa malam, sebab kita tahu cuaca panas (ketika ini), tiada orang hendak datang (jika acara berlangsung pada waktu tengah hari), jadi masa petang sampai ke malam adalah masa yang baik untuk menarik pelancong datang ke Alor Setar.

“(Usaha) ini pun boleh jadi satu tarikan dalam Experience Kedah, Visit Kedah Year dan Visit Malaysia Year tahun ini,” titah baginda.

Raja Muda Kedah bertitah demikian ketika ditemui media selepas berkenan berangkat melakukan lawatan di Lorong Sempit, Dataran Starwalk, Alor Setar malam tadi (pada Jumaat).

Turut berangkat sama, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda, Tunku Sulaiman Badlishah Tengku Sarafudin Badlishah.

Sepanjang lawatan, baginda berkenan meluangkan masa beramah mesra bersama pengusaha dan pengunjung selama lebih dua jam.

Sebelum ini, Tengku Sarafudin Badlishah telah berkenan melakukan lawatan di Kopi Waktu, Kampung Ulu Sedaka, Yan.-Astro Awani