KUALA LUMPUR: Kementerian Luar (KLN) mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terperangkap dalam konflik di Venezuela, setakat ini.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, hari ini, pihaknya sedang memantau rapat perkembangan semasa berikutan serangan ketenteraan di ibu negara Venezuela, Caracas, hari ini.
“KLN sedang mengumpulkan maklumat serta perkembangan semasa berhubung kejadian itu bagi memastikan keselamatan dan kebajikan warga Malaysia kekal menjadi keutamaan kami.
“Kementerian mengesahkan setakat ini, tiada menerima sebarang laporan berhubung mana-mana warga Malaysia terjejas dalam kejadian itu,” katanya.
Terdahulu, Amerika Syarikat (AS) dilapor melancarkan serangan ke atas Venezuela dan menangkap Presidennya, Nicolas Maduro.
Presiden AS, Donald Trump, ketika mengesahkan perkara itu dipetik berkata Maduro kemudian dibawa keluar dari negara berkenaan.-BH Online
