ALOR GAJAH: Beberapa sekolah rendah di Parlimen Alor Gajah bakal mempunyai ‘green lab’ atau makmal hijau bagi memperkasa dan memberi pendedahan awal mengenai pendidikan digital.
Ahli Parlimen Alor Gajah yang juga Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, berkata menerusi makmal berkenaan, murid akan diberi pendedahan mengenai perisian dan perkakasan teknologi, sekali gus membantu memupuk kreativiti dan kesedaran berkaitan keselamatan digital.
“Menerusi ‘green lab’ itu, mereka boleh menghasilkan video kreatif, belajar menjadi influencer (pempengaruh) dan yang paling penting mereka faham mengenai dunia digital dan bagaimana mengaplikasikannya dalam kehidupan.
“Pengetahuan kepada dunia digital juga boleh mengekang mereka daripada terbabit dengan isu scamdan seumpamanya,” katanya pada Program Jom Shopping Barangan Sekolah 2026 di sebuah pasar raya di Pulau Sebang di sini, hari ini.
Pada majlis itu, seramai 500 murid dan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan menerima baucar bernilai RM100 seorang bagi membeli kelengkapan persekolahan di pasar raya berkenaan.
Dalam perkembangan lain, mengulas insiden helikopter melakukan pendaratan cemas ketika sambutan ambang tahun baharu di Pantai Klebang, Rabu lalu, Adly berkata, jawatankuasa teknikal ditubuhkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) sedang melakukan siasatan terperinci.
Katanya, hasil siasatan itu kelak diharap dapat membantu mengelak kemalangan sama berlaku pada masa hadapan.
Rabu lalu, sebuah helikopter Super Lynx milik TLDM melakukan pendaratan cemas di perairan Pantai Klebang ketika pesawat melaksanakan penerbangan demonstrasi bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun ke-60 Grup Gerak Khas (GGK), Tentera Darat Malaysia (TDM).
Dalam kejadian jam 10.50 malam itu, empat kru udara berada dalam pesawat dan semua berjaya diselamatkan serta dibawa ke Hospital Melaka untuk pemeriksaan lanjut.
Adly berkata, bangkai helikopter berkenaan dikeluarkan dari lokasi kejadian pada Khamis lalu dan dihantar ke Pangkalan TLDM Lumut untuk penilaian teknikal. – BERNAMA
