HULU SELANGOR: Kerajaan masih belum menerima sebarang maklum balas daripada platform digital dalam talian, termasuk Meta, ByteDance dan Telegram susulan penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) pada 1 Januari lalu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata beliau belum menerima sebarang maklumat mengenai perbincangan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan platform berkenaan.
“Bagaimanapun, kita jangkakan dalam masa terdekat (akan menerima maklum balas), terutama proses ‘sandbox’ untuk EKYC itu akan bermula.
“Sekarang sebenarnya adalah proses untuk mengeluarkan instrumen bagi memaklumkan kepada platform bahawa ONSA adalah terpakai kepada mereka. Itu prosesnya sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Keluarga dan Rapat Reformis Kebangsaan 2026 di sini, hari ini. Program dirasmikan Perdana Menteri dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
ONSA, yang berkuat kuasa 1 Januari lalu, menggariskan kerangka perundangan bagi meningkatkan keselamatan dalam talian serta memperkukuh perlindungan terhadap pengguna, khususnya kanak-kanak dan keluarga.
ONSA menetapkan tanggungjawab dan kewajipan ke atas pemberi perkhidmatan berlesen untuk menangani kemudaratan dalam talian, termasuk pelaksanaan langkah keselamatan berdasarkan tahap risiko, perlindungan khusus kepada kanak-kanak serta penyediaan mekanisme melaporkan dan bantuan kepada pengguna.
Ditanya sama ada platform digital berkenaan bersetuju untuk mematuhi ONSA, Fahmi berkata, persoalan itu tidak timbul kerana mereka wajib mematuhinya untuk terus beroperasi di negara ini.
“Peruntukan ‘deeming’ di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia kini bermakna mereka secara automatik berada dalam bidang kuasa undang-undang Malaysia,” katanya.-BH Online
