KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan keperluan mendesak untuk terus dibekalkan dengan “senjata” perundangan pencegahan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) bagi mendepani ancaman ekstremisme yang semakin kompleks.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kerajaan tidak boleh memandang ringan sebarang ancaman keselamatan atau keupayaan kumpulan ekstremis dan militan berdasarkan kepada sejarah serangan lampau yang berlaku di rantau ini.
Ini katanya dapat dilihat menerusi insiden pengeboman Bali 2002, yang jelas membuktikan bahaya menafikan atau meremehkan kewujudan rangkaian ekstremis yang beroperasi merentas sempadan.
“Pengajaran daripada Indonesia jelas dan kita tidak boleh sesekali memandang ringan ancaman keselamatan atau individu serta kumpulan yang didorong ideologi ekstremis atau militan.
“Tindakan mesti diambil terhadap kumpulan ekstremis ini dan mereka tidak boleh dibiarkan beroperasi,” katanya dalam kiriman di media sosial, hari ini.
Imbas serangan di Bali
Beliau mengimbas kembali serangan di Bali iaitu pengeboman berskala besar pertama di Asia Tenggara yang mengorbankan 202 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang.
Rancangan serangan itu dibuat beberapa bulan lebih awal dan membabitkan pergerakan anggota melalui Thailand dan Malaysia sebelum melancarkan serangan di Indonesia.
Malaysia bukan sekadar menjadi lokasi transit, sebaliknya Jemaah Islamiah (JI) memasuki negara ini bagi mendapatkan logistik, memasang bahan letupan serta menyelaras pembiayaan sebelum serangan berkenaan.
Dalam masa yang sama, beliau berkata operasi berterusan oleh cawangan khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak Disember 2001 akhirnya berjaya menggagalkan rancangan pengeboman di Lebuhraya Tambak Johor–Singapura.
“Saya juga menolak dakwaan pengkritik yang menuduh polis bertindak di bawah pengaruh barat atau menggugat Islam kerana agensi keselamatan serta keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan turut mengaitkan kumpulan seperti al-Qaeda dan JI dengan ideologi Salafi-jihadi.
“Ahli politik, peguam dan kumpulan hak asasi hanya menumpukan kepada prosedur perundangan di bawah undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA), namun sebenarnya tidak semua maklumat risikan boleh didedahkan tanpa mencetuskan kebimbangan awam,” katanya.
Paling penting ialah sokongan serta kepercayaan penuh terhadap PDRM, khususnya Cawangan Khas dalam menangani ancaman terhadap keselamatan negara dan ketenteraman awam.
“Undang-undang pencegahan kekal sebagai instrumen penting bagi menggagalkan rancangan ekstremis sebelum keganasan berlaku,” katanya.-BH Online
