IPOH: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memperuntukkan tempoh enam bulan untuk berbincang dengan pihak kerajaan negeri-negeri ke arah menjalinkan kerjasama strategik bagi menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).
Menterinya, Nga Kor Ming, berkata perbincangan itu akan diadakan dengan kerajaan negeri yang belum mengguna pakai akta berkenaan dalam usaha menangani isu pembuangan sampah kecil di tempat awam.
Beliau bagaimanapun optimis hukuman denda antara RM2,000 hingga RM10,000 dan 12 jam khidmat masyarakat diperuntukkan dalam Akta 672, akan disambut baik oleh kerajaan negeri yang belum menguatkuasakannya.
Katanya, ia memandangkan akta itu diluluskan secara sebulat suara di Parlimen, selain telah diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.
“Kita memberi tempoh enam bulan untuk berbincang dengan kerajaan negeri, termasuk Perak, bagi mencari jalan mengadakan kerjasama strategik.
“Ini kerana hukuman itu diluluskan Parlimen secara sebulat suara dan telah diperkenankan oleh Agong. Maka, ia (Akta 672) mendapat restu daripada semua lapisan masyarakat,” katanya kepada pemberita pada program Lawatan Kerja Rasmi Sentuhan Kasih Menteri KPKT ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Bercham, di sini, hari ini.
BH hari ini melaporkan seramai 42 individu, termasuk dua kanak-kanak, menjadi kumpulan pertama disiasatmengikut Akta 672 kerana membuang sampah kecil di tempat awam.
Mereka dikenakan Notis Pemberitahuan Kesalahan (NPK) dalam Ops Cegah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pada sambutan Ambang Tahun Baharu 2026, malam kelmarin.
Untuk rekod setakat Mei 2025, lima negeri belum mengguna pakai Akta 672, iaitu Selangor, Pulau Pinang, Perak, Terengganu dan Kelantan.
Mengulas lanjut, Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan memaklumkan bahawa semua 42 individu berkenaan, termasuk 18 warga asing, ditahan di sekitar kawasan Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Katanya, kompaun sudah dikeluarkan terhadap kesemua mereka itu yang disifatkan sebagai ‘ulat sampah’.
Selain itu, beliau berkata, kes terbabit juga akan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi mengetahui sama ada pesalah akan didakwa di mahkamah atau sebaliknya.
Sementara itu pada sidang media kedua sempena lawatannya pula, Kor Ming berkata, hukuman khidmat masyarakat seperti menyapu sampah di jalanan, mencuci longkang, mencuci tandas dan sebagainya, hanya boleh dijalankan selepas ‘ulat sampah’ terbabit melalui proses pendakwaan di mahkamah.-BH Online
