KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan pihaknya sedang memantau rapat pergerakan sebuah kapal Pengawal Pantai China (CCG) di perairan Sarawak sejak ia memasuki Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 10 Disember lalu.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kapal peronda luar pesisir Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Kelantan, akan terus memantau pergerakan kapal China itu.
“Setelah maklumat disahkan, Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan memaklumkan Wisma Putra supaya satu nota bantahan rasmi dapat disampaikan kepada China,” katanya kepada New Straits Times.
Mohamed Khaled berkata, kapal CCG 5304 kali pertama dikesan pada kedudukan kira-kira 1.8 batu nautika di selatan Terumbun Lang Ngindang.
“CCG 5304 mula dikesan di perairan ZMM Sarawak oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM Tegas, di bawah Op Khas Raja Laut pada 10 Disember.
“Sejak pengesanan awal itu, pemantauan terhadap aset China ini kini dilaksanakan KD Kelantan, yang ditugaskan di bawah Op Satria 28/25,” katanya.
Tambah beliau, kehadiran kapal CCG di kawasan Operasi Satria yang meliputi Beting Raja Jarom dan Beting Hempasan Bantin, menjadi perkara biasa sejak akhir 2013.
Sejak itu, katanya ATM ditugaskan untuk melaksanakan Op Satria di kawasan berkenaan secara operasi berterusan 24 jam bagi memantau pergerakan kapal CCG dan kapal Republik Rakyat China (PRC), demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara.
“Sebarang pencerobohan, terutamanya di kawasan yang mempunyai tuntutan bertindih, tertakluk kepada ‘rules of engagement’ yang perlu dipatuhi bagi mengelakkan keadaan daripada menjadi tegang atau tidak terkawal,” katanya.
Mohamed Khaled ketika kajian separuh penggal Kertas Putih Pertahanan, berkata penggunaan taktik zon kelabu – strategi bukan ketenteraan yang melibatkan cabaran secara halus seperti tinjauan hidrografi yang diiringi kapal pengawal pantai asing dalam Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia – jelas bersifat provokatif dan menjejaskan kedaulatan negara.
Beliau berkata Malaysia akan terus bertegas bahawa semua pertikaian mesti diselesaikan melalui saluran diplomatik, selaras prinsip Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982.
Mohamed Khaled turut berkata Malaysia akan kekal aktif melalui ASEAN dan Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan Asean (ADMM) dalam membentuk satu Kod Tatalak (CoC) Laut China Selatan bagi membina keyakinan bersama dan mengurangkan risiko konflik bersenjata.-BH Online
