Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

GOMBAK: Pembangunan tanah perkuburan Islam baharu di Kampung Sungai Kertas, Mukim Batu di sini merupakan satu keperluan mendesak berikutan kapasiti tanah perkuburan sedia ada di kawasan Gombak semakin terhad dan hampir penuh.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, projek yang akan dibangunkan berkonsepkan Kubur Dalam Taman atau Raudhatul Sakinah itu bertujuan menyediakan kemudahan perkuburan yang lebih teratur, beradab dan selesa untuk penduduk setempat.

Menurutnya, pembangunan tersebut secara keseluruhan melibatkan penyediaan sebanyak 6,623 plot kubur, merangkumi 5,653 lot dewasa dan 868 lot kanak-kanak, sekali gus mampu menampung keperluan jangka panjang penduduk di Gombak dan kawasan sekitarnya.

“Bagi Fasa 1A, sebanyak 812 lot kubur akan disediakan, membabitkan 735 lot dewasa dan 76 lot kanak-kanak sebagai langkah awal menangani kekangan kapasiti tanah perkuburan sedia ada,” katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Amirudin berkata, pembangunan fasa pertama projek itu dijangka siap sepenuhnya pada Mei tahun hadapan selari dengan pertambahan penduduk yang semakin meningkat di kawasan Gombak.

“Kerajaan negeri berharap projek itu bukan sahaja dapat menyelesaikan isu kekurangan tapak perkuburan, malah menyediakan persekitaran yang lebih terancang dan kondusif untuk kemudahan umat Islam di Selangor,” tambah beliau. – Sinar Harian