PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh menzahirkan komitmen untuk mentadbir Wilayah Persekutuan secara bersih dari segi persekitaran dan tadbir urus dengan memberi penekanan kepada perkhidmatan asas serta keperluan sebenar rakyat.
Beliau berkata, hasratnya sebagai menteri yang menjaga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk memastikan semua wilayah berkenaan selamat untuk diduduki dan menjadi tempat bekerja tanpa mengira peringkat usia.
Katanya, dalam masa terdekat, beliau dan timbalannya, Datuk Lo Su Fui akan mendengar taklimat daripada semua ketua agensi di kementerian itu.
“Tetapi untuk masalah di Labuan, memang Timbalan Menteri saya sangat mahir kerana beliau bekas Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Sabah dan untuk masalah-masalah di Wilayah Persekutuan, memang saya sebagai Ahli Parlimen Segambut juga tahu.
“Dalam melaksanakan amanah ini, saya komited untuk memimpin Wilayah Persekutuan dengan penuh ketelusan, tanggungjawab serta kefahaman yang jelas terhadap realiti yang dihadapi oleh masyarakat kita.
“Tahun hadapan tahun yang sangat sibuk kerana ia juga Tahun Melawat Malaysia dan saya pasti Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Labuan akan menjadi tempat tumpuan ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas memasuki pejabatnya di Menara Seri Wilayah, di sini, pagi tadi.
Turut hadir, Timbalan Menterinya, Datuk Lo Su Fui.
Pada masa sama, Hannah berkata, beliau bukan menolak pembangunan di semua kawasan Wilayah Persekutuan.
Sebaliknya, beliau tidak mahu pembangunan yang tidak mampan dan tidak mengambil kira kelestarian alam sekitar.
“Saya ada melihat beberapa komen yang mengatakan ‘pemaju, anda perlu berhati-hati sekarang kerana Hannah Yeoh akan datang’.
“Saya tidak pernah menentang pembangunan, tetapi saya menentang pembangunan yang tidak mampan. Di Kuala Lumpur, saya sangat peka terhadap hujan lebat dan bagaimana ia memberi kesan kepada tanah runtuh serta banjir kilat.
“Itulah sebabnya suara rakyat dan kebimbangan mereka perlu kita beri perhatian. Apabila banjir kilat berlaku di sini, kerosakan harta benda adalah sangat besar,” katanya.-BH Online
