Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan Naim Kurniawan, anak Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin dipilih sebagai calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan.
Ahmad Zahid berkata, beliau sudah menghubungi Naim Kurniawan dan mengarahkannya untuk memulakan kempen.
Bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pula, Ahmad Zahid meminta Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin untuk mengumumkannya.
“Saya serahkan kepada beliau selepas pengumuman itu untuk memulakan kempen PRK,” katanya pada sidang media di Sungai Nibong, di sini, hari ini.
Kerusi Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag kosong selepas penyandangnya Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, meninggal dunia pada 5 Disember.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari 2026, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 10 dan 20 Januari. -BH Online
