KUALA LUMPUR, 19 Disember – Dewan Negara pada Khamis meluluskan Rang Undang-Undang Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 bagi memperkukuh industri perfileman dan kandungan kreatif negara.
RUU yang dibentangkan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil itu bertujuan memantapkan rangka kawal selia industri supaya kekal relevan dengan perkembangan teknologi serta landskap digital semasa.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) memaklumkan pindaan tersebut meliputi penstrukturan semula industri, penambahbaikan tadbir urus dan pengukuhan fungsi penguatkuasaan bagi mewujudkan ekosistem perfileman yang lebih profesional, telus dan berdaya saing.
Menurut FINAS, pindaan akta itu tidak melibatkan kawal selia kandungan media sosial dan mengecualikan platform over-the-top (OTT) daripada kawalan kandungan.
Sebaliknya, fokus diberikan kepada perlindungan kebajikan pekerja kreatif serta pematuhan undang-undang dalam aktiviti perfileman komersial.
Sepanjang proses penggubalan RUU berkenaan, sebanyak 50 sesi libat urus telah diadakan melibatkan pemain industri, syarikat produksi, stesen televisyen, platform OTT, institusi pengajian tinggi serta kementerian dan agensi berkaitan.
Pendekatan itu mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pindaan yang dilaksanakan selari dengan keperluan dan realiti industri perfileman tempatan.
FINAS yakin kelulusan RUU tersebut akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem perfileman yang lebih mampan dan kompetitif, seiring aspirasi memperkasa ekonomi kreatif negara.-Berita RTM
