Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 16 Disember – Projek pembinaan Kem Batalion 10 Pasukan Gerakan Am (PGA) di Sungai Paoh Sarikei, Sarawak telah mencapai kemajuan sebanyak 78.2 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada 12 April 2026.

Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah memaklumkan kementeriannya bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) menjalankan pemantauan berterusan terhadap kemajuan projek dengan penglibatan dalam mesyuarat teknikal yang diadakan sekurang-kurangnya tiga bulan sekali. 

“Selain itu, di bawah Rolling Plan (RP) 1 Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tahun 2026, Kementerian Dalam Negeri turut menerima kelulusan bagi projek sambungan pembinaan kompleks Kem Batalion 10 PGA di Sungai Paoh Sarikei di Sarawak dengan peruntukan sebanyak RM50 juta. 

“Peruntukan ini bertujuan menyalurkan pembayaran interim untuk kemajuan projek yang dibayar oleh JKR kepada kontraktor pada tahun 2026,” ujar beliau.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Senator Roderick Wong Siew Lead berhubung status terkini projek tersebut serta jangkaan ia siap siap sepenuhnya di Dewan Negara.

Tambah beliau, projek Kem Batalion 10 PGA tersebut telah diluluskan di bawah RP1 RMK11 tahun 2017 dengan kos berjumlah kira-kira RM271.4 juta.-Berita RTM