Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti semua resolusi yang disyorkan Kerajaan Melaka dalam menangani isu berkaitan disiplin dan sahsiah pelajar sama ada ia bersesuaian dengan keseluruhan dasar pendidikan negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pihaknya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Melaka yang banyak memberikan pandangan untuk menambahbah baik segenap aspek sistem pendidikan kepada KPM.

Katanya, KPM sentiasa berusaha untuk memenuhi agenda pendidikan termasuk sahsiah murid dalam pelbagai inisiatif yang dirangka.

“Seperti baru-baru ini, kita (KPM) lancarkan inisiatif yang kita panggil PAKAT (Program Akses Komprehensif Tadika) untuk prasekolah bersama dengan ibu bapa dan komuniti PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), sekolah untuk sama-sama kita tangani (perkara berkaitan pendidikan dan sahsiah).

“Ini kerana kita mahu memberikan ruang untuk ibu bapa terbabit penuh dalam sekolah kita khususnya di peringkat prasekolah, jadi PAKAT ini antara agenda penting untuk sama-sama memberikansumbangsaran kepada sekolah (untuk melakukan yang terbaik demi pendidikan anak-anak).

“Jadi, untuk resolusi Kerajaan Melaka, kita akan teliti semua resolusi itu dan kita akan pertimbangkan serta melihat sama ada ia ada kesan ataupun tidak kepada keseluruhan dasar yang sedang kita laksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, di sini, hari ini.

Terdahulu, Kerajaan Melaka mengemukakan 10 resolusi utama berkaitan disiplin, sahsiah dan kesejahteraan pelajar, termasuk pelaksanaan hukuman rotan secara berhemah dengan kebenaran ibu bapa atau penjaga, sebagai langkah mendidik dan membentuk disiplin mereka.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dilaporkan berkata, cadangan itu antara dapatan penting hasil rumusan Konvensyen Khas Kerajaan Negeri bersama PIBG, Komuniti dan Rakan Strategik Pendidikan negeri itu.-BH Online