BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan pelbagai pencapaian utama sepanjang tiga tahun pelaksanaan reformasi pendidikan.
Menterinya, Fadhlina Sidek, berkata ia termasuk penguatkuasaan dasar pendidikan menengah wajib, pengurangan beban tugas pendidik, dan pembinaan serta pemulihan sekolah di seluruh negara.
Sambil menjelaskan pelaksanaan reformasi pendidikan itu akan terus diperkukuh, beliau memaklumkan pada tahun depan, tumpuan KPM ialah mempersiap guru untuk menjayakan Kurikulum Baharu 2027.
Kurikulum Baharu 2027 akan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2026 membabitkan prasekolah, diikuti Tahun Satu dan Tingkatan Satu pada 2027.
“Komitmen KPM untuk terus mengurangkan beban tugas guru akan diteruskan bagi membolehkan warga pendidik memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk penguasaan pedagogi, serta pelaksanaan reformasi di bilik darjah.
“Kita mahu guru dapat memberi tumpuan di dalam kelas, meningkatkan kualiti PdP, dan melaksanakan pembaharuan dalam pengajaran mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.
Fadhlina berkata, antara pencapaian paling signifikan ialah kelulusan Rang Undang-Undang Pendidikan (Pindaan) 2025 di Parlimen yang menjadikan pendidikan menengah sebagai pendidikan wajib hingga Tingkatan Lima.
Dengan pindaan itu, setiap anak Malaysia kini dilindungi undang-undang untuk kekal dalam sistem pendidikan hingga tamat sekolah menengah, sekali gus memastikan tiada keciciran selepas Tahun Enam.
Selain itu, katanya, KPM berjaya melantik seramai 52,948 guru baharu dengan kadar pengisian mencecah 98 peratus – tertinggi dalam hampir sedekad, sekali gus memastikan hampir semua kelas di seluruh negara mempunyai guru mengajar sebagaimana sepatutnya.
Dalam aspek keselamatan sekolahj pula, beliau berkata, KPM melaksanakan 11 inisiatif Sekolah Selamat secara serentak di seluruh negara, termasuk peruntukan RM5 juta bagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV), pelantikan 10,096 guru dan kaunselor baharu, serta 600 pembantu warden asrama.
Seterusnya berhubung pemulihan pascapandemik, beliau berkata, takwim persekolahan negara akan kembali bermula Januari mulai sesi 2026, selepas empat tahun jadual persekolahan terganggu, selaras keperluan ibu bapa dan guru.
Katanya, intervensi literasi dan numerasi turut menunjukkan hasil positif apabila 398,496 murid berjaya menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M), meningkat berbanding 326,051 murid sebelum intervensi dilaksanakan.
Dalam usaha mengurangkan beban guru, Fadhlina berkata, KPM telah melaksanakan reformasi tugas termasuk pelantikan 562 pembantu guru, penempatan 600 pembantu warden bawah inisiatif MySTEP, sokongan operasi di 281 sekolah menengah, serta penambahbaikan Rancangan Pengajaran Harian (RPH).
Selain itu, katanya, pembinaan serta pemulihan infrastruktur pendidikan turut mencatat pencapaian tinggi apabila 44 sekolah baharu dibina dan 44 projek sekolah daif siap dilaksanakan pada 2025.
Beliau berkata, peluasan pendidikan awal kanak-kanak diperkukuhkan apabila prasekolah KPM diperluas ke sekolah menengah kebangsaan, kolej vokasional serta Institut Pendidikan Guru (IPG), sekali gus meningkatkan akses pendidikan awal di kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Mengulas usaha menangani keciciran pendidikan di kawasan pedalaman pula, Fadhlina berkata, peluasan Sekolah K9 dan K11 berjaya memastikan kadar keciciran sifar, dengan murid kekal bersekolah hingga tamat pendidikan menengah.-BH Online
