KUALA LUMPUR: Jadual waktu baharu bagi Perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang akan digunakan bermula 1 Januari ini membabitkan laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim dan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan inisiatif itu selaras kemajuan kerja Projek Landasan Berkembar Lembah Klang Fasa II (KVDT2) yang giat dijalankan.
“Penyelarasan jadual ini adalah sebahagian daripada usaha penambahbaikan perkhidmatan KTMB apabila kerja naik taraf landasan di bawah projek KVDT mula memberikan keupayaan operasi lebih stabil.
“Perubahan ini dijangka meningkatkan kelancaran perjalanan tren, mengoptimumkan pergerakan di sepanjang laluan terbabit dan menyokong penyediaan perkhidmatan yang lebih konsisten kepada pengguna,” katanya, hari ini.
Menerusi pelaksanaan jadual waktu baharu berkenaan, perkhidmatan bas ulang-alik bagi laluan Subang Jaya-Pelabuhan Klang dan di stesen perantara yang terbabit tidak lagi disediakan.
Katanya, perkhidmatan tren akan beroperasi di kedua-dua arah bagi laluan Pelabuhan Klang, termasuk stesen perantara pada waktu pagi dan petang mengikut jadual baharu yang ditetapkan.
“Bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna khususnya pada waktu puncak pagi dan petang, KTMB akan menyediakan perkhidmatan tren dengan kekerapan setiap 30 minit bagi laluan Pelabuhan Klang-Kuala Lumpur.
“Begitu juga bagi laluan Tanjung Malim-Kuala Lumpur bagi memastikan keselesaan pengguna harian yang bergantung pada perkhidmatan ini untuk perjalanan pergi dan pulang bekerja.
“Dua perkhidmatan tren dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan satu perkhidmatan ke Shah Alam akan diperkenalkan pada waktu pagi bagi memenuhi keperluan perjalanan pengguna dari Tanjung Malim ke Pelabuhan Klang dan stesen perantaraannya, termasuk perjalanan melalui KL Sentral,” katanya.
KTMB memaklumkan kerja-kerja penyelenggaraan dan penutupan landasan akan terus dilaksanakan antara jam 11 pagi hingga 3 petang setiap hari.
Sepanjang tempoh itu, katanya. tiada perkhidmatan tren penumpang bagi laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang, bagi membolehkan kerja menaik taraf infrastruktur dijalankan dengan selamat.
“Perubahan jadual ini turut membabitkan laluan Pulau Sebang-Batu Caves-Pulau Sebang, bagi memastikan penyelarasan rangkaian tren komuter yang lebih efisien dan meminimumkan masa menunggu antara laluan.
“KTMB mengekalkan kekerapan 30 minit pada waktu puncak pagi dan petang di laluan ini dan menghargai kesabaran, kefahaman serta sokongan berterusan penumpang sepanjang tempoh pelaksanaan projek KVDT2 bagi memastikan sistem rel negara terus selamat serta mampan.
“Langkah ini mencerminkan kemajuan positif dalam usaha KTMB memastikan perkhidmatan tren yang lebih lancar dan selamat, seiring dengan penambahbaikan infrastruktur rel yang sedang dilaksanakan melalui projek KVDT,” katanya.
KTMB berkata, dalam tempoh peralihan itu, operasi tren di sektor Pelabuhan Klang masih menggunakan satu landasan di antara Stesen Abdullah Hukum dan Stesen Pelabuhan Klang.
Katanya, KTMB akan terus memantau serta menyelaras operasi dari semasa ke semasa sementara kerja-kerja naik taraf menyeluruh di bawah projek KVDT2 diteruskan dan dijangka siap sepenuhnya pada 2029.
“Jadual waktu baharu boleh disemak melalui aplikasi KITS STYLE atau di laman sesawang rasmi www.ktmb.com.my.
“Untuk maklumat dan pertanyaan lanjut, orang ramai boleh layari saluran media sosial rasmi KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200,” katanya.-BH Online
