SEMENYIH: Barisan Nasional (BN) akan berunding dengan parti-parti yang membentuk kerajaan Sabah berhubung calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, yang sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata rundingan itu tidak boleh diketepikan memandangkan BN adalah sebahagian daripada kerajaan negeri Sabah.
“Rundingan bukan sahaja dengan GRS (Gabungan Rakyat Sabah), tetapi juga dengan parti-parti lain yang bertanding bagi kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan.
“BN mengutamakan pendekatan berunding bersama parti-parti lain yang bertanding di kawasan itu demi kepentingan rakyat.
“Kita sedar rakyat sudah letih dan terlalu banyak masa dihabiskan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 lalu, justeru perundingan dengan semua pihak adalah langkah yang lebih baik demi kestabilan politik,” katanya kepada media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF) di sini, hari ini.
Hadir sama Presiden IPF, Datuk T Loganthan dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas pada 16 Disember ini bagi urusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag susulan kematian Bung Moktar pada 5 Disember lalu.
Pada PRN Ke -17 Sabah lalu, Bung Moktar yang juga Pengerusi BN Sabah, mempertahankan kerusi DUN Lamag dengan majoriti 153 undi membabitkan saingan enam penjuru.-BH Online
