PETALING JAYA, 14 Disember -Bahasa Melayu harus kekal berperanan sebagai bahasa pengantar dan medium ilmu dalam era kecerdasan buatan (AI) serta teknologi digital.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagi mengimbangi keperluan daya saing di peringkat antarabangsa, penguasaan bahasa Inggeris juga sama penting.
Menurut beliau, penekanan terhadap kedua-dua bahasa itu penting bagi menjamin kelangsungan negara dalam dunia global tanpa mengabaikan kedudukan bahasa kebangsaan.
“Saya melihat perkara ini sebagai dasar bahasa, bukan isu bahasa Cina, Melayu atau Inggeris semata-mata. Justeru, saya cuba meredakan kebimbangan dengan menegaskan bahawa di Malaysia, kita semua bersetuju untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dan juga bahasa pembelajaran.
“Dengan itu, dalam bidang teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), pengajaran juga dapat dilaksanakan menggunakan bahasa Melayu, dan tahap penguasaan bahasa Melayu,” katanya ketika berucap pada Majlis Minum Petang Sempena Krismas anjuran Persekutuan Kristian Malaysia (CFM), di sini, semalam.
Sehubungan itu katanya, penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu diperkukuh sebagai bahasa kedua yang penting dalam institusi pendidikan.
“Apabila kita menerima satu lagi hakikat bahawa dalam dunia yang semakin mengglobal ini, Malaysia muncul sebagai sebuah negara perdagangan yang penting serta meneroka teknologi baharu termasuk transformasi digital, kita perlu memastikan generasi muda meningkatkan tahap penguasaan bahasa Inggeris.
“Usaha ini bukan sekadar menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran tambahan, tetapi dengan matlamat untuk memastikan para pelajar benar-benar menguasai bahasa tersebut. Bahasa Inggeris merupakan bahasa kedua yang sangat penting. Oleh itu, kurikulum di sekolah, kolej dan universiti perlu disesuaikan sewajarnya,” kata Perdana Menteri lagi.-Berita RTM
