Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PETALING JAYA, 13 Disember – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih belum mengumumkan tarikh rasmi rombakan Kabinet, namun memberi bayangan bahawa ia akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Rombakan Kabinet, dalam masa terdekat…”, jawabnya ringkas kepada pemberita selepas Majlis Minum Petang Sambutan Krismas, di sini.

Ketika ditanya sama ada rombakan Kabinet itu akan dibuat sebelum atau selepas sambutan Hari Krismas, Perdana Menteri enggan mengulas lanjut.

Sebelum ini, media melaporkan Datuk Seri Anwar telah mempunyai senarai calon bagi rombakan Kabinet berkenaan.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan perkara itu masih dalam pertimbangan dan perlu diputuskan secara teliti tanpa tergesa-gesa.

Difahamkan, kerajaan tidak merancang untuk melakukan rombakan besar-besaran dalam Kabinet. Sebaliknya, rombakan dijangka hanya melibatkan pengisian kekosongan di beberapa kementerian termasuk Kementerian Ekonomi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.-Berita RTM