KULIM: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan pertubuhan yang dikaitkan dengan gerakan kultus dari Korea Selatan sememangnya berada dalam radar pemantauan pasukan keselamatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata bagaimanapun setakat ini gerakan itu belum mencapai tahap yang boleh dianggap mengancam keselamatan negara.
Saifuddin berkata, beliau sendiri sudah diberi taklimat oleh Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung latar belakang pertubuhan berkenaan termasuk corak kegiatan, bentuk penglibatan serta tokoh-tokoh tempatan yang terbabit.
“Jadi, apakah bentuk kegiatannya sehingga sampai pada satu tahap untuk kita katakan (ia) mengancam keselamatan negara.
“(Setakat ini pemantauan PDRM sahkan) dia belum sampai tahap itu lagi…. sebab itu pemantauan berterusan dibuat oleh pihak polis,” katanya selepas peluncuran program Kembali ke Sekolah 2026 di sini, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa wujud gerakan kultus menyimpang dari Korea Selatan yang aktif di negara ini.
Beliau turut mendakwa terdapat pembabitan Ahli Parlimen beragama Islam dan individu penting Parlimen dalam membantu pergerakan berkenaan.
Mohd Asri turut memaklumkan satu taklimat berkaitan isu itu telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Perlis.
Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui kegiatan pertubuhan itu hadir dalam bentuk-bentuk umum yang sekilas pandang tidak memperlihatkan sebarang bentuk yang boleh dianggap sebagai menjadi satu ancaman.
“Jadi, barangkali kerana penampilannya begitu, maka penglibatan kehadiran beberapa tokoh politik negara itu berlaku.
“Apa pun pemantauan berterusan pihak polis akan terus dilakukan bagi memastikan sebarang perkembangan baharu dapat dikesan lebih awal,” katanya.
Ditanya adakah gerakan itu kini dikesan di negeri-negeri tertentu, beliau berkata maklumat diterimanya belum sampai ke peringkat itu.-BH Online
