KULIM: Sebarang perbincangan berkait pengiktirafan kepada Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), perlu berpandukan tiga prinsip asas yang digariskan, kata Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ia dengan keutamaan mutlak harus diberikan kepada kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa perpaduan negara.
“Permintaan berhubung UEC telah disampaikan secara tertib oleh kepimpinan DAP dalam mesyuarat PH, dan dibincangkan secara terbuka bersama semua komponen.
“Prinsip pertama mesti dipersetujui ialah pengiktirafan serta penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa ilmu dan juga bahasa perpaduan yang wajib dikuasai oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan latar belakang pendidikan.
“Kalau namanya rakyat Malaysia, pendirian pertama mesti jelas bahawa bahasa Melayu wajib dikuasai. Walaupun anak dihantar ke sekolah antarabangsa dengan bahasa pengantar adalah bahasa Inggeris, penguasaan bahasa Melayu tetap prasyarat penting,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Kembali ke Sekolah 2026, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, prinsip kedua ialah kerajaan mengalu-alukan penguasaan bahasa lain termasuk bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan Arab, selagi tidak menafikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara.
Seterusnya, beliau berkata, prinsip ketiga ialah kerajaan tidak mahu mana-mana pihak memperjuangkan bahasa kaum tertentu secara eksklusif sehingga mengabaikan semangat perpaduan nasional.
“Penting bahasa sesuatu kaum dipelajari dan dikuasai, tetapi tidak wajar dijadikan satu-satunya perjuangan berasaskan identiti kaum,” katanya.
Semalam, media melaporkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa sebarang tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.
Perdana Menteri dipetik berkata, kerajaan akan terus mempertahankan dan mendukung prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan berhubung kedudukan bahasa Melayu.
Katanya, usaha yang sepatutnya dilakukan adalah memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bagi menjadikannya bahasa ilmu yang dikuasai semua pihak di negara ini.-BH Online
