TAWAU, 13 Disember – Sebanyak 640 Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 dilaksanakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh negara, termasuk Wilayah Persekutuan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif berkenaan memberi manfaat secara langsung kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM300 juta.
“Bagi pelaksanaan kali ini, Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah akan berlangsung sepanjang sesi persekolahan bermula 20 Disember hingga 11 Januari.
“Program ini melibatkan 174 premis termasuk kedai pakaian, pusat beli-belah dan pasar raya, dengan keseluruhan 269 siri penganjuran,” katanya kepada pemberita pada program PJRM Kembali Ke Sekolah 2026 di sini.
Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) Kembali ke Sekolah 2026 menawarkan potongan harga hingga 30 peratus barangan keperluan sekolah termasuk pakaian seragam, kasut dan alat tulis.
Orang ramai boleh merujuk takwim PJRM Kembali ke Sekolah dengan melayari pautan www.kpdn.gov.my/ms/jualan-rahmah untuk mengetahui tarikh dan lokasi program tersebut.-Berita RTM
