Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 11 Disember – Kewujudan 125 lot timbul di sepanjang Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dan Lebuhraya Kota Bharu–Kuala Krai (KBKK) di Kelantan dikenal pasti sebagai antara isu utama yang menjejaskan proses perancangan serta pengambilan tanah bagi projek berkenaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata lot timbul itu wujud akibat ketidakselarasan antara pelan ukur projek dengan rekod lot hak milik di pejabat tanah.

Beliau berkata situasi itu mewujudkan pecahan atau sisa lot yang tidak direkodkan secara rasmi, sekali gus meningkatkan jumlah keseluruhan pengambilan tanah kepada 1,724 lot setakat 12 November lepas, berbanding 1,599 lot yang dirancang sebelum ini.

“Kewujudan dan penambahan lot timbul ini dijangka akan meningkatkan kos keseluruhan projek khususnya melibatkan penyediaan pelan pengambilan baharu, urusan pewartaan semula, kerja ukur tambahan serta potensi kenaikan kos pampasan tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 bagi kementeriannya di Dewan Negara hari ini.

Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengadakan sesi libat urus bersama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kelantan untuk membentangkan isu berkenaan, selain memohon kerajaan negeri meneliti perkara itu dan merangka penyelesaian holistik bersama agensi berkaitan.

Nanta turut memaklumkan projek KBKK sepanjang 70.4 kilometer (km) kini mencapai kemajuan fizikal 60.42 peratus, manakala LTU yang dibina sepanjang 299.4 km merekodkan kemajuan sekitar 75.96 peratus setakat Oktober lepas.-Berita RTM