KUALA LUMPUR: Tahap pematuhan penggunaan peranti had kelajuan (SLD) fasa 1 membabitkan bas dan kenderaan barangan menunjukkan peningkatan ketara sehingga 48.37 peratus setakat semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata jumlah itu meningkat berbanding 2.68 peratus kadar kepatuhannya ketika ia mula dilaksanakan pada 1 Oktober lalu.
“Hasil daripada tindakan penguatkuasaan tegas Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tahap pematuhan penggunaan SLD fasa 1 meningkat dari 2.68 peratus pada permulaan penguatkuasaan sehingga 48.37 peratus.
“Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meneruskan penguatkuasaan SLD dengan tegas untuk mencapai tahap pematuhan yang lebih baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang meminta MOT menyatakan maklumat terperinci mengenai peranti SLD.
Pada masa sama, Loke berkata, pemasangan SLD fasa 1 membabitkan bas ekspres, bas pelancongan dan kenderaan barangan dengan berat dengan muatan (BDM) melebihi 3,500 kilogram (kg).
Katanya, sehingga 15 November lalu, sebanyak 307 pihak pengesah sudah berdaftar di seluruh negara bagi menjalankan pemasangan serta pengesahan kefungsian SLD.
Dalam perkembangan berasingan, Loke menegaskan, MOT tidak memberikan sebarang permit bas ekspres kepada mana-mana syarikat asing termasuk dari Singapura untuk beroperasi di negara ini.
Loke berkata, keberadaan operasi bas dari Singapura di negara ini adalah atas kategori bas persiaran yang mana ia sememangnya dibenarkan.
“Bas persiaran dari Singapura boleh masuk ke negara kita begitu juga dengan bas persiaran kita yang boleh masuk ke sana. Kita tidak mengharamkan bas persiaran masuk.
“Sebaliknya, namun bagi kategori bas ekspres, kita tidak pernah mempertimbangkan dan tidak akan mempertimbangkan untuk diberikan permit bagi operasi di sini,” katanya menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa)yang meminta kerajaan menokhtahkan operasi bas ekspres haram dari Singapura yang memberi kesan kepada pengusaha bas tempatan.
Loke berkata, bagi operasi bas persiaran dari Singapura, mereka tidak boleh mengambil penumpang lain sepanjang perjalanan seperti dibuat oleh bas ekspres.
Katanya, tindakan penguatkuasaan akan diambil jika mendapati bas persiaran dari Singapura yang membawa pelancong dari sana, membuat pengambilan penumpang ketika berada di negara ini.
“Industri tempatan mempertikaikan sama ada penguasaha ini menjalankan fungsi sebagai bas ekspres iaitu jika mereka mengambil penumpang dari Kuala Lumpur contohnya ke Singapura, yang mana jawapannya kita tidak benarkan.
“Jadi tidak timbul syarikat tempatan hilang punca pendapatan atau mengalami kerugian disebabkan isu terbabit,” katanya. -BH Online
