KUALA LUMPUR: Kerajaan menegaskan jumlah hutang negara tidak sepatutnya mengelirukan rakyat, meskipun sedar ada pihak sengaja memutarbelitkan statistik sehingga menimbulkan salah faham mengenai situasi sebenar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata perlu diberikan penjelasan berhubung maksud sebenar hutang statutori kerana ia penting supaya rakyat memahami konteks angka yang dibentangkan.
“Angka ini sebenarnya diputarkan (diputar belit)… statistik sepatutnya tidak menipu. Tetapi ada keadaan di mana statistik boleh dimanipulasi untuk diperdaya.
“Jadi oleh itu saya nak tegaskan di sini, apa maksud hutang statutori ? Itu ada dalam undang-undang kita. Hutang statutori (adalah) jumlah keseluruhan pinjaman kita yang tidak melibatkan hutang luar negara yang (jumlahnya) kecil dan juga treasury bills (instrumen hutang jangka pendek).
“Ada angka penurunan kerana yang penting apa? Kita boleh turunkan segera tetapi bebannya kepada rakyat. Itu satu keputusan yang harus kita ambil.
“Sebab itu, daripada RM100 bilion hutang baharu, kita turunkan kepada RM70 bilion. Kita boleh (saja) turunkan kepada RM20 bilion tahun depan, tetapi kerajaan negeri janganlah minta peruntukan,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang memohon penjelasan rentetan ada pihak yang mengaku sebagai pakar ekonomi dan kewangan menggunakan fakta separa benar mengenai paras hutang kerajaan melepasi had hutang statutori.
Mengulas lanjut, Anwar berkata kejayaan menurunkan kadar hutang adalah bukti keupayaan kerajaan menguruskan kewangan negara.
Justeru, beliau berkata kerajaan boleh menyalurkan peruntukan untuk melaksanakan projek asas untuk manfaat rakyat membabitkan projek tebatan banjir, prasarana asas, pendidikan, kesihatan dan sebagainya.
“Jadi saya tidak fikir hal ini harus mengelirukan kerana bila ada unjuran defisit kita kurang. Ini bermakna tanggungan hutan itu juga akan berkurangan.
“Umpamanya kalau jumlah tuntutan hutang sekarang itu juga berkurangan kerana kita membayar ikut obligasi pada masa ditetapkan. Unjuran kita pada 2027 dan 2028, ia boleh plateau (mendatar).
“Kalau keadaan ini dapat diteruskan, konsisten oleh kerajaan, maka tekanan hutang kita akan menurun mulai akhir 2028 dan 2029. Itu unjuran kita. Sebab itu, langkah-langkah penurunan defisit itu mesti disegerakan,” katanya.-BH Online
