KUALA LUMPUR, 1 Disember – Tiada rombakan Kabinet besar-besaran akan dilakukan dalam masa terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebaliknya tumpuan kini hanya terarah kepada keperluan mengisi kekosongan.
“Kita perlu mengisi beberapa kekosongan. Namun, rombakan besar tidak sesuai memandangkan tempoh pentadbiran Kerajaan MADANI kini hanya berbaki sekitar setahun setengah.
“Jadi, saya tidak fikir rombakan besar harus dilakukan. Bagaimanapun, saya sedang meneliti langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengisi kekosongan yang ada,” katanya.
Beliau memberitahu demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Peluncuran Kenderaan Elektrik (EV) pertama Perodua di ibu negara hari ini.
Menurut Datuk Seri Anwar, langkah-langkah terbaik akan terus dilaksana bagi memastikan keberkesanan pentadbiran, namun rombakan secara besar-besaran bukanlah keperluan mendesak buat masa ini.
Spekulasi mengenai rombakan Kabinet kembali menjadi tumpuan susulan beberapa menteri dan timbalan menteri berstatus Senator dijangka menamatkan penggal perkhidmatan mereka awal bulan ini.-Berita RTM
