Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Usaha terus dipergiat membaiki dan menyelenggara jalan-jalan pertanian serta infrastruktur pengairan di kawasan jelapang dan luar jelapang di seluruh negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, RM162.1 juta diperuntukkan tahun ini bagi tujuan berkenaan.

Daripada jumlah itu, RM104.7 juta disalurkan kepada agensi-agensi di bawah KPKM seperti Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi menguruskan kawasan dalam jelapang.

Manakala, bagi kawasan luar jelapang,  RM57.4 juta
disalurkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) .

“Peruntukan tersebut disalurkan mengikut skop penyelenggaraan dan tanggungjawab setiap agensi. Kerja-kerja penyelenggaraan parit dan tali air akan dilaksanakan oleh agensi yang bertanggungjawab di kawasan masing-masing. KPKM amat memahami keperluan untuk membaiki dan menyelenggara jalan-jalan pertanian serta infrastruktur pengairan, sama ada di kawasan jelapang mahupun luar jelapang, secara berkala,” katanya.

Penjelasan tersebut bagi menjawab soalan wakil Batang Lupar, Mohammad Shafizam Kepli yang meminta Kementerian menyatakan adakah pihak Kementerian melalui JPS dapat menyediakan peruntukan untuk melaksanakan kerja pembersihan tali-tali air dan parit secara berkala termasuk di kawasan yang bukan di bawah seliaan.-Berita RTM