IPOH, 1 Disember -Kerjasama antara agensi kerajaan perlu terus diperkukuh bagi menghadapi kemungkinan gelombang kedua dan ketiga banjir.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mahu, koordinasi menyeluruh diberikan perhatian memandangkan beberapa kawasan yang sebelum ini tidak pernah dilanda banjir kini turut terjejas.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid turut meminta pembayaran Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada penduduk terjejas banjir seluruh negara disegerakan tanpa perlu menunggu Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditutup.
“Mengikut peraturan, tiga hari selepas PPS ditutup, bantuan boleh disalur. Tetapi arahan saya, ketika mereka masih berada di PPS pun tidak salah untuk bantuan itu diberikan.
Mulai hari ini, bantuan mesti disalurkan kerana mereka perlukan wang segera untuk membeli barang baharu yang rosak.
Walaupun saya tahu itu tidak cukup, tetapi keprihatinan kerajaan ialah membantu. Kita tidak beri pampasan kerana ini takdir daripada Allah dan kita harus menerima,” jelas beliau.
Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid berkata demikian ketika melakukan Tinjauan Mesra di beberapa PPS di daerah Bagan Datuk.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan amaran awal oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membolehkan pemindahan penduduk terjejas banjir dilakukan lebih awal sebelum paras air memuncak.
Tindakan proaktif itu, katanya, membantu mengurangkan risiko serta memastikan operasi penyelamatan lebih tersusun di kawasan hotspot seluruh negara.-Berita RTM
