Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 1 Disember – Laporan Tahunan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKmR) akan dibentangkan kepada Mesyuarat Jemaah Menteri.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, laporan itu juga akan dibincangkan secara mendalam bersama pengurusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Laporan tersebut merangkumi penelitian serta pemeriksaan JKmR terhadap Laporan Tahunan SPRM bagi tahun 2021 hingga 2024, untuk jawatankuasa itu mengenal pasti trend dan perkembangan semasa terkait usaha pencegahan rasuah dan cabaran yang dihadapi oleh SPRM.

“Setiap syor dan dapatan dalam laporan ini akan diteliti dengan serius agar reformasi institusi terus diperkukuh, ketirisan dibendung dan keyakinan rakyat diperteguh.

“Komitmen Kerajaan MADANI terhadap ketelusan, integriti dan tadbir urus yang baik tidak pernah berganjak. Insya-Allah, kita akan memastikan usaha membina negara yang bebas rasuah dan berintegriti tinggi terus menjadi keutamaan tertinggi,” kata Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook.

Terdahulu, Datuk Seri Anwar menerima kunjungan hormat JKmR yang diketuai Pengerusinya Datuk Mohd Shahar Abdullah serta mendengar pembentangan laporan tahunan mereka buat kali pertama.-Berita RTM