Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PARLIMEN, 1 Disember – Semua bentuk bantuan kerajaan kepada golongan muda berusia 30 tahun ke atas akan diteruskan, meskipun mereka tidak lagi dikategorikan sebagai belia mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menjelaskan kumpulan tersebut masih layak menerima intervensi kerajaan sekiranya mereka memerlukannya.

“Walaupun mereka tidak lagi dipanggil belia, kita panggil mereka anak muda. Saya bagi contoh, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi mempunyai pelbagai geran yang dibenarkan untuk golongan muda ini. 30 tahun ke atas masih boleh memohon dana kerajaan untuk membantu mereka.

“Dalam sektor pertanian juga, sebab kita tahu ramai anak muda kurang suka pekerjaan outdoor, jadi geran khas untuk petani turut dikekalkan bagi membantu petani muda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan di Dewan Rakyat.

Hannah turut memaklumkan Jemaah Menteri telah meluluskan memorandum penyelarasan sokongan dan bantuan kerajaan kepada belia pasca penurunan had umur, yang dibentangkan oleh kementeriannya dalam mesyuarat Kabinet pada 28 November lalu.

Penurunan had umur belia kepada 30 tahun dibuat susulan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019.-Berita RTM