Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 28 November – Rakyat diseru supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga, susulan negara kini berdepan fasa cuaca tidak menentu dan mencabar.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri menegaskan, semua penduduk di kawasan berisiko perlu sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sekiranya diarahkan.

“Utamakan keselamatan ahli keluarga, khususnya kanak-kanak, warga emas dan golongan orang kurang upaya (OKU), serta elakkan berada berhampiran sungai, kawasan rendah dan lokasi yang mudah dinaiki air.

“Mereka yang memerlukan bantuan boleh mendapatkan sokongan di PPS terdekat atau menghubungi saluran kecemasan rasmi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

KPWKM melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa, serta memastikan setiap keluarga terkesan menerima bantuan secepat mungkin dengan penuh empati.

Sebagai langkah kesiapsiagaan, JKM telah digerakkan sejak awal bersama kerajaan negeri dan agensi bencana lain.

“JKM juga bersedia mengaktifkan PPS tambahan pada bila-bila masa sekiranya keadaan cuaca bertambah buruk.

“Bekalan makanan, selimut dan keperluan asas berada pada paras mencukupi dan akan terus diagihkan mengikut keperluan mangsa di lapangan,” katanya.

Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy dan seluruh warga KPWKM menzahirkan dukacita terhadap dua kes kematian akibat banjir yang direkodkan di Kelantan, masing-masing di Gua Musang pada 21 November 2025 dan Tanah Merah (26 November 2025).

“Takziah kepada keluarga mangsa dan semoga mereka diberi kekuatan menghadapi detik yang amat sukar ini,” katanya.

Setakat 28 November 2025, banjir di seluruh negara kekal serius dengan 242 PPS beroperasi, melibatkan 9,033 keluarga dan 27,489 mangsa.

Amaran cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada 27 November 2025 menunjukkan hujan sangat lebat dan berterusan dijangka berlaku di beberapa negeri termasuk Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.

Beberapa negeri lain seperti Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Johor turut berada pada tahap amaran buruk dan waspada, yang boleh meningkatkan risiko banjir kilat, limpahan sungai serta tanah runtuh, terutama di kawasan rendah.-Berita RTM