KUALA LUMPUR: Kerajaan mengaktifkan sepenuhnya Pusat Kawalan Operasi Negeri (PKON) di 14 negeri, selain 198 Pusat Kawalan Operasi Daerah dan Unit susulan Ribut Tropika Senyar
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata kesiapsiagaan optimum diaktifkan selepas menerima taklimat menyeluruh daripada Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) berhubung situasi semasa serta jangkaan impak terhadap rakyat dan infrastruktur kritikal.
“Pusat Kawalan Operasi Bencana di peringkat negeri dan daerah juga dibuka bagi memastikan koordinasi operasi, pemindahan dan penyampaian maklumat dapat dijalankan tanpa kelewatan.
“Walaupun ribut berkenaan kini diturunkan taraf kepada sistem bertekanan rendah, keadaan penumpuan angin masih berpotensi membawa hujan berterusan di banyak kawasan Semenanjung dalam tempoh 24 jam akan datang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata, APM turut mengerahkan lebih 2,000 anggota untuk rondaan dan pemantauan di kawasan berisiko banjir, ribut serta ombak kuat.
Beliau berkata, aset penting seperti bot penyelamat, ambulans, kenderaan 4X4, generator, pam air mudah alih dan dron pemantauan turut digerakkan.
“Bagi memastikan kebajikan mangsa dan petugas, kerajaan turut menyediakan 30,300 pek makanan retort, 88,701 unit khemah mudah alih bencana (C-Tent) dan 31,480 kit makanan mangsa sebagai stok kecemasan awal di lokasi strategik,” katanya.
METMalaysia melaporkan, Ribut Tropika Senyar mendarat di kawasan pantai antara Selangor dan Negeri Sembilan pada jam 12.30 tengah malam tadi, dengan kelajuan angin maksimum mencecah 65 km/j.
Sehubungan itu, Ahmad Zahid meminta penduduk di kawasan terjejas sentiasa mengikuti amaran rasmi METMalaysia, NADMA dan APM serta mematuhi arahan pemindahan jika diarahkan.
“Orang ramai dinasihat mengelak aktiviti laut dan kawasan pesisir susulan keadaan angin kencang serta ombak tinggi, di samping memastikan beg kecemasan sentiasa tersedia dan dokumen penting disimpan di tempat selamat.
“Jangan sebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mencetuskan kekeliruan atau panik,” katanya sambil memberi jaminan kerajaan akan terus memantau situasi dan memastikan semua agensi sentiasa siap siaga.-BH Online
