Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KINABATANGAN: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, meminta pengundi membuat keputusan tepat pada Pilihan Raya Negeri (PRN), esok, demi memastikan masa depan Sabah terus dipacu dengan pembangunan mampan dan kepimpinan stabil.

Sepanjang siri jelajah kempen di Lamag, Kinabatangan dan beberapa kawasan lain, katanya, rakyat jelas mahu kepimpinan yang bukan saja mempunyai rekod pencapaian tetapi juga mampu bertindak tegas serta bekerja secara konsisten untuk kepentingan rakyat.

Dalam kempen yang memasuki jam-jam terakhir itu, beliau menegaskan mesej utama BN kepada rakyat Sabah tidak berubah sejak hari pertama kempen.

“Di saat-saat akhir ini, pilihan semakin jelas. BN sentiasa berpihak kepada Sabah dan bekerja untuk rakyat tanpa jemu.

“Inilah komitmen yang kami buktikan, bukan sekadar dinyatakan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bung Moktar berkata, peranan jentera parti, sukarelawan dan penyokong yang turun padang tanpa mengira masa sepanjang dua minggu kempen PRN kali ini, telah mengukuhkan lagi hala tuju BN yang menekankan pembangunan, kesejahteraan serta penyelesaian kepada isu rakyat secara menyeluruh.

Beliau berkata, maklum balas rakyat ditemuinya menunjukkan mereka lebih cenderung memilih kepimpinan yang memberi hasil nyata, bukan sekadar janji atau retorik politik.

“Rakyat sendiri boleh menilai, mereka tahu siapa yang hanya pandai bercakap, dan siapa yang benar-benar bekerja serta menyampaikan hasil kepada rakyat Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Bung Moktar yang bertanding mempertahankan kerusi N58 Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, turut mengingatkan pengundi mengenai kewajipan mereka menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, esok, agar kesinambungan pembangunan dapat diteruskan, selain memastikan kestabilan politik negeri berada di landasan kukuh.

Beliau juga menegaskan pentingnya mengekalkan suasana tenang, matang dan berhemah menjelang tamatnya kempen.

“Apapun yang berlaku, satu perkara tetap tidak berubah – BN tetap teguh, BN terus bekerja keras, dan BN sentiasa bersama rakyat Sabah dalam apa jua keadaan,” katanya.-BH Online