KUALA LUMPUR: Kerajaan menyediakan peruntukan RM7 juta bagi menampung perbelanjaan segera untuk semua negeri dan agensi berkaitan, bagi memastikan koordinasi dan operasi tindak balas berjalan lancar sepanjang tempoh monsun timur laut (MTL).
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, berkata peruntukan disalurkan menerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) termasuk bagi tujuan pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI), yang mula dilaksanakan bermula musim MTL 2025-2026.
“Ini penting kepada mereka yang jadi mangsa bencana ini… pembayaran BWI akan dibuat berdasarkan pendaftaran ketua isi rumah (KIR) mangsa bencana, melalui sistem MyInfo Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Bayaran akan dibuat secara terus kepada KIR oleh Bank Simpanan Nasional selaku bank pembayar yang dilantik dalam tempoh satu ke tiga hari, selepas pusat pemindahan sementara (PPS) ditutup,” katanya mewakili Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Nancy berkata demikian menjawab soalan tambahan Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) yang antara lain mahu tahu sama ada kerajaan bersedia memberikan insentif bantuan kewangan kepada mana-mana pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantu ketika banjir di seluruh negara.-BH Online
