KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) pada mesyuarat kedua Parlimen tahun depan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata pembentangan RUU itu akan membuka laluan kepada pemisahan peranan Peguam Negara (AG) dan Pendakwa Raya.
Katanya, selepas RUU Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) berkuat kuasa, ia akan disusuli dengan RUU Saraan dan RUU Pembaharuan Undang-Undang (Pendakwa Raya) yang berbentuk omnibus.
“Ia dibuat bertujuan meminda pelbagai undang-undang berbangkit daripada pemisahan peranan penasihat dan pendakwaan Peguam Negara,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung status terkini usaha kerajaan memisahkan Pejabat Peguam Negara dan Pendakwa Raya sama ada kedua-dua jawatan itu akan dipertanggungjawabkan kepada Parlimen.
Terdahulu dalam jawapan bertulis itu, Azalina berkata Jemaah Menteri pada 10 September lalu bersetuju memilih model pemisahan sepenuhnya, di mana peranan AG dan Pendakwa Raya akan dipegang oleh dua individu berbeza dengan kedudukan setara.
Keputusan ini dibuat selepas dapatan daripada Pasukan Petugas Khas Kajian Perbandingan, susulan lawatan kajian empirikal ke Kanada, Australia dan United Kingdom.
Sementara itu, Azalina berkata kerajaan belum membuat keputusan muktamad sama ada AG dan Pendakwa Raya akan dipertanggungjawabkan secara langsung kepada Parlimen sebagai sebahagian daripada reformasi undang-undang dan institusi negara.
“Persoalan sama ada Peguam Negara dan Pendakwa Raya akan bertanggungjawab terus kepada Parlimen bagi menjamin ketelusan proses pendakwaan, tiada sebarang keputusan muktamad dibuat.
“Bagaimanapun, kerajaan sentiasa terbuka kepada pandangan Ahli Parlimen dan pihak berkepentingan supaya sebarang reformasi yang dilaksanakan akan dapat memperkukuh pronsip ketelusan, akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan,” katanya.- BH Online
