Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengulangi pendirian bahawa semua proses permohonan kewarganegaraan tujuh pemain warisan dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, berkata seperti yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini, proses permohonan dibuat berdasarkan peruntukan di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964 serta prosedur operasi standard (SOP) Jabatan Pendaftaran Negara.

Shamsul Anuar memaklumkan, isu terbaru yang dibangkitkan berhubung pendedahan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengenai alasan mengekalkan hukuman terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan kini berada dalam ruang lingkup urusan antara FIFA dan FAM.

“Sebarang tindakan susulan adalah tertakluk kepada peraturan dan tindakan yang ditetapkan oleh badan bola sepak antarabangsa berkenaan.

“Saya tidak berhajat untuk menjawab lain, tidak mahu bertentangan dengan jawapan yang dikemukakan Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2026 peringkat jawatankuasa bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada 18 November lalu, Jawatankuasa Rayuan FIFA mendedahkan alasan bertulis di sebalik keputusan mengekalkan hukuman terhadap FAM dan tujuh pemain warisan berhubung isu pemalsuan dokumen.

Keputusan yang dimuktamadkan pada 3 November itu memaklumkan dapatan Jawatankuasa Tatatertib FIFA bahawa FAM dan pemain terbabit bergantung kepada sijil kelahiran palsu bagi mendakwa mempunyai keturunan Malaysia untuk melayakkan diri menyertai skuad Harimau Malaya.

Siasatan FIFA, antara lain mendapati FAM menyenaraikan datuk dan nenek pemain terbabit sebagai individu yang lahir di wilayah Malaysia, namun rekod yang diperoleh dari Sepanyol, Argentina, Brazil dan Belanda membuktikan mereka lahir di negara terbabit.

Pada 30 September lalu, Saifuddin menegaskan proses pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan itu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang.

Katanya, setiap proses yang dilaksanakan KDN dilakukan secara tertib dan teliti oleh pihak berwajib selaras dengan ketetapan di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, menjawab celahan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai pendirian terkini KDN selepas perkembangan terbaharu itu, Shamsul Anuar berkata, sebarang perkembangan baharu akan dimaklumkan kemudian.

September lalu, Jawatankuasa Tatatertib FIFA mengenakan denda 350,000 Swiss franc (kira-kira RM1.8 juta) terhadap FAM, manakala tujuh pemain masing-masing dikenakan denda 2,000 Swiss franc (RM10,600) serta digantung daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Tujuh pemain itu adalah Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.-BH Online