Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PUTRAJAYA, 26 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang memuktamadkan pembangunan sebuah panduan ringkas bagi memperkukuh intervensi awal terhadap tingkah laku bunuh diri dalam kalangan belia di negara ini.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata panduan itu akan menjadi bahan rujukan mudah kepada golongan belia, keluarga, rakan serta komuniti bagi mengenal pasti tanda awal, memberikan sokongan segera dan menghubungkan individu berisiko kepada saluran bantuan yang tepat.

“Stigma masih menjadi halangan utama. Belia takut dilabel apabila mendapatkan bantuan, sama ada di tempat belajar, tempat kerja atau oleh keluarga sendiri. Kita perlu mewujudkan ruang selamat agar mereka berani bersuara serta menerima bantuan pada waktunya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Belia: Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri di Menara KBS, di sini hari ini.

Seramai 153 peserta terdiri daripada pakar kesihatan mental, pegawai kementerian, ahli akademik, wakil NGO serta belia menghadiri persidangan tersebut bagi berkongsi pandangan, cabaran dan cadangan agar Quick Guide yang dibangunkan bersifat inklusif, praktikal dan mudah diakses.

“Ini langkah awal kita. Quick Guide ini akan membantu bukan sahaja individu yang mempunyai kecenderungan bunuh diri, tetapi juga penjaga atau pihak terdekat yang ingin memberikan sokongan awal,” katanya.

Hannah turut menjelaskan, statistik menunjukkan kebanyakan kes melibatkan golongan lelaki dan belia bekerja, namun banyak insiden tidak dilaporkan kerana kekeliruan saluran rujukan serta stigma masyarakat.

“Rawatan psikiatri atau penggunaan ubat bukan sesuatu yang memalukan dan tidak bercanggah dengan agama. Kita hanya mahu memastikan bantuan diberikan secara tepat dan selamat,” tegasnya.

Pembangunan panduan itu melibatkan beberapa siri libat urus bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), NCEMH, WHO Malaysia, RELATE Malaysia, hospital serta NGO berkaitan kesihatan mental.

Antara cadangan tambahan ialah memperluas latihan kepada majikan dan institusi pendidikan serta mewujudkan “well-being hour” untuk pelajar dan pekerja bagi memberi ruang penjagaan kesihatan mental.

Hannah menekankan bahawa kesejahteraan mental belia memerlukan kerjasama menyeluruh daripada ibu bapa, pendidik, agensi kerajaan, NGO dan masyarakat.

Quick Guide itu dijangka dilancarkan sepenuhnya tahun ini selepas semua input selesai diperhalusi.

“Kita mahu belia mempunyai saluran selamat untuk bersuara, mendapatkan bantuan, dan membina masa depan yang lebih stabil serta positif,” katanya.-Berita RTM