Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR: Sebanyak 17 kesalahan membabitkan Jalur Gemilang disiasat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tak Wajar) 1963 (Akta 414) dengan Pulau Pinang mencacatkan jumlah tertinggi sebanyak lima kes sehingga Oktober lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata daripada jumlah itu Kuala Lumpur mencatatkan dua kes, masing-masing empat kes di Johor dan Selangor serta satu kes masing-masing di Negeri Sembilan dan Perak.

Beliau berkata sebanyak lima kes sudah diselesaikan dan 12 kes masih dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan dari semasa ke semasa berusaha untuk meningkatkan kesedaran dan informasi kepada masyarakat berhubung Jalur Gemilang bukan sahaja kepada individu malah kepada semua pihak termasuk agensi kerajaan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Beliau menjawab soalan Chiew Choon Man (PH-Miri) berhubung tindakan yang diambil terhadap kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dan sama ada tindakan sama akan diambil untuk agensi awam yang turut melakukan kesilapan yang sama.

Katanya mana-mana pelanggaran terhadap Seksyen 3 Akta 414 akan dikenakan penalti boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.-BH Online