KUALA LUMPUR, 25 November– Kerajaan melalui Jabatan Perikanan Malaysia mengambil langkah segera memastikan spesies marin terancam, khususnya dugong, di perairan kepulauan Mersing terpelihara
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata antara yang dilaksanakan termasuk pemantauan berkala serta rondaan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Laut Malaysia (JLM) bagi mengawal aktiviti pelancongan serta pergerakan bot di kawasan habitat dugong;
Memasang pelampung penanda kawasan habitat; dan menjalankan program kesedaran awam dan latihan komuniti nelayan bersama pengusaha pelancongan tempatan.
Setakat ini, tiga sesi libat urus telah diadakan sejak 2023 hingga 2024 bersama komuniti nelayan, agensi kerajaan dan pengusaha pelancongan bagi pelaksanaan pewartaan Santuari Dugong di perairan Johor.
” Bagi langkah jangka masa panjang, Kerajaan sedang menggubal Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengezonan Santuari Dugong) di bawah Seksyen 45 Akta 317 untuk memperincikan tatacara pengurusan, kawalan aktiviti pelancongan dan zon larangan tertentu bagi mengelakkan konflik guna kawasan. Pewartaan ini dijangka menambah keluasan kawasan perairan terlindung sebanyak 1,508 kilometer persegi iaitu kira-kira 0.28% daripada perairan negara,” katanya.
Beliau menjawab soalan yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Mersing, Muhammad Islahuddin Abas di Parlimen
Dugong merupakan spesies marin dilindungi di bawah Akta Perikanan 1985 dan Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan yang Terancam) 1999 yang dipinda pada 2008.-Berita RTM
