KUALA LUMPUR, 25 November – Kerajaan komited memperkukuh sistem penjagaan kesihatan negara termasuk menangani inflasi perubatan serta isu melibatkan doktor kontrak dan pekerja kesihatan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata perkara itu merupakan antara enam cabaran utama yang terus diberi perhatian bagi memastikan sistem kesihatan negara lebih mampan dan bersedia menghadapi keperluan masa depan.
“Arah tuju strategik kerajaan berfokus kepada memperkukuh daya tahan sistem melalui inovasi berani dan kerjasama bermakna. Bersama-sama, kita mampu membina sistem kesihatan yang lebih tangkas dan bersedia menghadapi cabaran pada masa akan datang,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada pelancaran Persidangan Kesihatan Antarabangsa (MIH) Megatrends 2025 di sini, hari ini.
Datuk Seri Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata kerajaan turut memperkukuh Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) sebagai kerangka utama dalam meningkatkan kesedaran serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan rakyat.
Beliau menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap individu menerima akses kepada perkhidmatan kesihatan asas dan berkualiti tanpa mengira latar belakang atau status sosioekonomi.
Susulan pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu, sektor kesihatan kekal sebagai antara keutamaan agenda kerajaan.
“Sebanyak RM46.5 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Kesihatan, meningkat berbanding RM45.3 bilion pada tahun ini. Peruntukan ini mencerminkan usaha kerajaan memperkukuh sistem kesihatan negara serta memastikan perkhidmatan yang adil, mudah diakses dan mampu milik,” katanya.
MIH Megatrends yang dianjurkan Kementerian Kesihatan memasuki penganjuran kali kedua dengan tema “Berinovasi Demi Masa Depan Lebih Sihat dan Lestari”.
Persidangan tiga hari itu menghimpunkan lebih 1,500 peserta termasuk profesional kesihatan, pembuat dasar dan pemimpin industri dari dalam dan luar negara, dengan memberi tumpuan terhadap tiga bidang utama iaitu Penyakit Tidak Berjangkit (NCD), Kesihatan Awam dan Kelestarian.-Berita RTM
