Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

KUALA LUMPUR, 24 November – Kerajaan mengaktifkan bilik gerakan di negeri-negeri yang terjejas banjir bagi memastikan bekalan barangan keperluan asas tidak terputus sepanjang Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr. Fuziah Salleh berkata bilik gerakan tersebut berfungsi sebagai pusat pemantauan segera sekiranya berlaku kekurangan barangan asas di kawasan terjejas. Ia turut menyelaras pengagihan stok bagi memastikan penghantaran dapat dibuat tanpa penangguhan.

“Di negeri-negeri yang terkesan, kita ada bilik gerakan untuk memaklumkan sekiranya berlaku gangguan bekalan. Contohnya, jika terdapat kekurangan gula atau minyak masak, bilik gerakan akan memastikan bahan tersebut dihantar terus ke kawasan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan E-Dagang ASEAN 2025 di sini, hari ini.

Datuk Dr. Fuziah turut memaklumkan kerajaan telah meluluskan lesen dan permit kepada 2,102 pemborong, pengilang dan peruncit untuk menyimpan stok sehingga 30 peratus lebih tinggi daripada had yang dibenarkan sebelum ini.

“Langkah ini adalah sebahagian daripada persediaan awal bagi memastikan bekalan barangan asas tidak terganggu di kawasan berisiko bencana,” jelasnya.

Sebelum ini, KPDN membenarkan pemborong dan peruncit menyimpan sehingga 30 peratus stok tambahan sebagai persediaan menghadapi MTL, bagi memastikan barangan asas serta barangan kawalan sentiasa mencukupi dan dijual pada harga berpatutan ketika bencana melanda.-Berita RTM