JOHANNESBURG, 23 November – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempat mengadakan perbincangan ringkas dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi semasa menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin G20 di Afrika Selatan.
Pertemuan itu menegaskan komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan dua hala, terutamanya dalam bidang ekonomi, perdagangan, pendidikan dan teknologi baharu, yang berpotensi membuka ruang kerjasama lebih luas antara kedua-dua negara.
“Ya, Modi sempat berjumpa dan mengucapkan terima kasih kerana memberi ruang untuk menyertai ASEAN secara dalam talian. Beliau turut menyebut tentang sambutan Deepavali dan pilihan raya di India, sambil ketawa dan berkata ‘True, true, true’.
“Setiap kali berjumpa, beliau menekankan kepentingan meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara India dan Malaysia,” kata Datuk Seri Anwar.
Perdana Menteri menegaskan Malaysia dan India akan terus berpadu tenaga untuk mempelbagaikan bentuk kerjasama strategik yang menguntungkan kedua-dua negara.
Tambahnya, atas semangat saling meyakini dan menghormati, Malaysia berpotensi meningkatkan peranan rantau itu sebagai medan pertumbuhan baharu, sambil memastikan hubungan diplomatik kekal utuh dan teguh.- Berita RTM
